Saturday, October 30, 2010

Bioteknologi berkembang

Najib Tun Razak bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili dan Pengerusi Biotechcorp, Tan Sri Datuk Dr. Zaharuddin Idrus (kanan) menjawab soalan wartawan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat IAP Bioteknologi Keempat di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 16 Nov 09. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkembangan baik yang berlaku pada industri bioteknologi negara menunjukkan bidang tersebut sedang membangun seperti dirancangkan oleh kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, ini dilihat melalui beberapa fakta seperti jumlah syarikat berstatus BioNexus yang sudah mencecah angka 135 buah dan jumlah ini dijangka bertambah 50 syarikat lagi menjelang tempoh dua tahun akan datang.

''Malah industri bioteknologi sendiri telah menyumbang kepada 2.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

''Oleh itu, kita meletakkan sasaran untuk industri bioteknologi menyumbang sebanyak 2.5 peratus menjelang 2011,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Panel Penasihat, Antarabangsa (IAP) Bioteknologi Keempat di sini hari ini.

Seramai sembilan ahli panel terlibat dalam mesyuarat itu yang mewakili tenaga pakar dalam pelbagai bidang, antaranya Profesor Biologi Massachusetts Institute of Technology, Prof. Anthony J. Sinskey, Pengarah Urusan Burril & Company, Dr. Roger Wyse dan Canselor Curtin University of Technology, Datuk Dr. Eric Tan.

Mesyuarat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu diadakan bersempena program Bio-Malaysia 2009 yang bakal bermula esok.

Pameran selama tiga hari yang mengumpulkan kira-kira 100 peserta itu dijangka menarik minat seramai 8,000 pelawat perdagangan dari lebih 40 buah negara.

Menurut Perdana Menteri, setakat ini jumlah pelaburan syarikat berstatus BioNexus adalah bernilai RM1.51 bilion dengan jumlah pendapatan lebih RM700 juta.

Katanya, bagi memastikan industri itu terus berkembang, kerajaan melalui agensi berkaitan akan memastikan segala cadangan yang dikemukakan IAP dalam mesyuarat ini dapat dilaksanakan.

''Cadangan dan saranan IAP akan dipastikan dapat dilaksanakan secepat mungkin supaya pada mesyuarat akan datang kita boleh lihat hasilnya.

''Kita mungkin tidak boleh melihat segala apa yang disarankan itu dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh setahun namun setidak-tidaknya sebelum Mesyuarat IAP Bioteknologi yang akan datang, segala yang dicadangkan sudah berada dalam peringkat pelaksanaan,'' katanya.

Mesyuarat IAP Bioteknologi tahun ini mencadangkan sebanyak enam perkara untuk dilaksanakan.

Antaranya menubuhkan sebuah pusat penyelidikan utama dan mewujudkan ekosistem yang sesuai bagi menarik minat pekerja berpengetahuan negara untuk kembali berkhidmat di Malaysia.

Selain itu, ia turut menyarankan supaya Malaysia menjadi hab pembangunan klinikal terutama untuk industri kelapa sawit dan memberi keutamaan kepada ujian tambah nilai klinikal dan ujian diagnostik kerana kesesuaian negara ini yang mempunyai rakyat pelbagai kaum.

No comments:

Post a Comment